Jentera pilihan raya Pas Kedah sedia hadapi PRU15

Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto Pas Kedah
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto Pas Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pas Kedah mempunyai jentera pilihan raya yang mencukupi bagi membantu parti tersebut menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) dalam usaha untuk terus menguasai kerajaan negeri.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jentera tersebut perlu diuruskan sebaik mungkin agar dapat menarik lebih ramai pengundi untuk mengundi parti tersebut.

Menurutnya, keyakinan itu dizahirkan selepas mendengar taklimat yang disampaikan oleh kepimpinan Pas Kedah dalam lawatannya ke negeri ini pada Sabtu.

"Saya dengar taklimat diberikan, saya dapati Pas Kedah mempunyai jentera yang mencukupi, cuma bagaimana kita hendak menguruskan jentera ini supaya berkesan untuk menarik pengundi seramai-ramainya menyokong kita.

"Kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah, bukan menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan. Seboleh-bolehnya begitu, Kedah boleh insya-Allah!," katanya pada malam Sabtu.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Khas Presiden Pas dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah pada malam kemuncak Pas Pilihanku Peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar.

Ahmad (kiri) mengiringi Abdul Hadi menerima 780 borang keahlian baru daripada Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Rashidi Abdul Razak di Kompleks Pas Kedah pada malam Sabtu. - Foto Pas Kedah
Ahmad (kiri) mengiringi Abdul Hadi menerima 780 borang keahlian baru daripada Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Rashidi Abdul Razak di Kompleks Pas Kedah pada malam Sabtu. - Foto Pas Kedah

Hadir sama memberikan ucapan adalah Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya juga berkata, jentera pilihan raya di Kedah sudah bersedia untuk menghadapi PRU15 jika diadakan pada bila-bila masa.

Menurutnya, pelancaran jentera tersebut telah dilakukan oleh pemimpin di pelbagai peringkat termasuk di peringkat negeri.

"Kita telah usaha untuk melancarkan jentera pilihan raya. Ada yang Menteri Besar lancarkan, ada yang Pesuruhjaya lancarkan dan ada yang Pengarah Pilihanraya (lancarkan).

"Yang penting adanya himpunan, ucapan-ucapan pemberi semangat dan ada di sana arahan-arahan untuk dilaksanakan di peringkat jentera pilihan raya Kawasan, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sampai ke peringkat Unit Daerah Mengundi (UDM).

"Dari segi kehadiran dalam semua program tersebut, saya yakin, Insya-Allah kita sudah sedia hadapi pilihan raya bila-bila masa," ujarnya.

Pada majlis itu juga, sebanyak 780 borang keahlian baru telah diserahkan oleh Setiausaha Pas Kuala Kedah, Rashidi Abdul Razak mewakili Pas Kedah kepada Abdul Hadi.

400 daripada 780 keahlian baru tersebut adalah terdiri daripada ahli Pas Kuala Kedah.