Dua atlet negara ungguli 5150 Triathlon Desaru Coast

Kar Kean menjuarai acara lelaki dan wanita pada 5150 Triathlon Desaru Coast dekat Kota Tinggi pada Sabtu. - Foto Bernama
Kar Kean menjuarai acara lelaki dan wanita pada 5150 Triathlon Desaru Coast dekat Kota Tinggi pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

DUA atlet - Nigel Ng Kar Kean dan Mayumi Shinozuka mengharumkan nama negara apabila masing-masing mengungguli acara lelaki dan wanita pada 5150 Triathlon Desaru Coast dekat Kota Tinggi pada Sabtu.

Kar Kean, 19, mengharungi cabaran tiga disiplin perlumbaan iaitu renang 1.5 kilometer, berbasikal 40 kilometer dan larian 10 kilometer dengan masa dua jam 18 minit, bagi kategori lelaki berusia 18 hingga 24 tahun.

Shinozuka, 21, pula berjaya menyelesaikan tiga cabaran itu dengan catatan masa keseluruhan dua jam 36 minit, bagi wanita untuk kategori sama.

Kar Kean ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan prestasinya dan menjelaskan perlumbaan dimulakan dengan sangat baik.

"Saya bermula kedudukan yang baik bagi renang dan mula menjarakkan kedudukan ketika berbasikal.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi bagi acara ini. Persiapan saya selama dua bulan sebelum ini membuahkan hasil," kata atlet berkenaan yang mendapat tempat ke-12 pada Sukan SEA Hanoi 2022.

Shinozuka pula menyifatkan penyertaannya dalam acara sukan ekstrem itu sebagai platform baginya untuk mengekalkan tahap kecergasan setelah mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi dengan menamatkan saingan di posisi ketujuh.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran bagaimanapun berpuas hati apabila menduduki tempat pertama. Saya mahu pastikan tahap kecergasan berada di tahap terbaik," katanya.

Sementara itu, bagi kategori lelaki berusia 25 hingga 29 tahun pula, ia turut diungguli atlet kebangsaan, Chong Yoong Thiang dengan masa dua jam 19 minit, manakala wanita pula dijuarai atlet daripada Sepanyol Soraya Camarena Villar dengan masa dua jam 55 minit.

Bagi acara Desaru Coast Sprint Triathlon yang melibatkan tiga disiplin perlumbaan iaitu renang 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian lima kilometer pula, ia dijuarai Bryce Chong dari Singapura dengan masa sejam enam minit bagi kategori lelaki, manakala wanita pula diungguli atlet negara Nuraina Naziha Mohamad Nazim dengan masa sejam 33 minit.

Acara 5150 Triathlon Desaru Coast yang berlangsung pada pukul 7 pagi tadi melibatkan seramai 357 atlet dan Desaru Coast Sprint Triathlon pula seramai 108 orang dengan kesemua peserta termasuk pemenang membawa pulang medal. - Bernama