'RoS perlu bagi jawapan ya atau tidak'

 Mohamad Hassan
Mohamad Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan enggan mengambil risiko sehingga pendaftaran UMNO terpaksa dibubarkan sekiranya keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung notis pindaan perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak berpihak kepada parti itu.

Beliau berkata, sehubungan itu pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan parti itu daripada terbubar, selain menyifatkan masih mempunyai masa secukupnya.

Menurut Mohamad, surat rasmi daripada UMNO telah dihantar pada bulan lalu memohon pertimbangan RoS untuk memberikan keputusan secepat mungkin selewat-lewatnya pada 31 Julai ini.

“Kami sudah tulis surat rasmi kepada RoS minta supaya seboleh mungkin buatlah keputusan sehingga Julai ini sebab kami perlu buat persediaan lain pula.

“Yang kita kelam-kabut sangat buat apa, tunggulah sampai hujung bulan. Kami juga mengikut peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan parti dan dokumen serta maklumat yang diperlukan telah pun diserahkan oleh Setiausaha Agung UMNO kepada RoS secara serahan tangan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah di sini pada Sabtu.

Mohamad berharap permohonan terbabit diluluskan susulan parti itu telah mengikut peruntukan RoS dan perundangan.

“Bagilah jawapan ya atau tidak. Kalau ya, syukur Alhamdulillah. Kalau tidak, kami perlu buat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan macam-macam lagi. Yang pentingnya, parti juga perlu buat persiapan kerana tempoh matang kami sebagai pemegang jawatan dalam parti sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya terpaksa diadakan pemilihan, ia bukan perkara yang mudah kerana parti itu mempunyai lebih 22,000 cawangan dan 191 Bahagian.

Tegas Mohamad, bagaimanapun UMNO bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung keputusan RoS kelak.

“Saya tak nak parti ini terbubar pendaftarannya, ahli-ahli parti mesti bersikap matang menerima sebarang keputusan kelak. Kalau tidak diluluskan permohonan, kita terpaksa buat pemilihan parti.

“Kita tiada pilihan, cuma saya harap supaya janganlah ahli berpecah belah, keutamaan kita untuk hadapi pilihan raya berbanding pemilihan dalaman antara kita,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RoS dijangka memberi keputusan terhadap notis pindaan perlembagaan UMNO dalam tempoh kurang dari dua minggu, iaitu dijangka awal Ogos.

Ia berdasarkan tujuh maklumat tambahan diberikan parti itu bagi melancarkan proses permohonan berkenaan.