MAHA 2022 platform pamer teknologi terkini

Ahmad (tengah) bersama para pengunjung ketika hadir merasmikan Program 'Road to Maha 2022 Zon Selatan di Plaza Angsana Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
Ahmad (tengah) bersama para pengunjung ketika hadir merasmikan Program 'Road to Maha 2022 Zon Selatan di Plaza Angsana Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Ogos ini yang akan diadakan secara hibrid bakal menjadi platform untuk mempamerkan perkembangan teknologi terkini dalam bidang pertanian dan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, program pada 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor itu turut bakal menampilkan 22 segmen meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.

"MAHA 2022 akan mempamerkan beberapa tarikan baharu iaitu teknologi dan segmen menarik termasuk pertanian, perikanan, ternakan, florikultur, agrotourism, berasaskan tani dan agrokulinari supaya dapat menarik lebih ramai golongan muda.

"Kita telah membuat pelbagai persediaan dengan menjangkakan seramai 100,000 pengunjung sehari akan datang ke program yang akan diadakan selama 11 hari itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Road To MAHA 2022 Zon Selatan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Ahmad berkata, antara teknologi yang bakal dipamerkan pada MAHA 2022 dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ itu termasuk 'foodscaping' melibatkan gabungan tanaman boleh dimakan dan herba.

"Walaupun jumlah pengunjung yang disasarkan dalam MAHA 2022 ini kurang berbanding MAHA 2018, iaitu seramai 1.1 juta pengunjung berbanding 3.3 juta pengunjung, namun sasaran jualan adalah lebih tinggi iaitu RM250 juta berbanding RM215 juta," katanya.

Beliau berkata terdapat 13 pavilion yang akan menampilkan ciri-ciri keunikan negeri-negeri di Malaysia dan sekurang-kurangnya 1,500 ruang pameran serta jualan akan disediakan pada MAHA 2022 itu.

Sementara itu, Dr Sahruddin dalam ucapannya berkata, Road To MAHA 2022 Zon Selatan bermula semalam hingga esok, menyediakan 14 reruai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuk Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Setiap produk jualan merupakan hasil pengusahaan para peladang sendiri. Semoga program ini dapat mengukuhkan pasaran domestik, sekali gus memperkasakan pengeluar dan usahawan agromakanan mikro, kecil dan sederhana yang mendominasi industri untuk terus berdaya saing," katanya. - Bernama