Penjual ikan maut nahas tiga kenderaan

Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuching pada awal pagi Sabtu.
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuching pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjual ikan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuching di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam kejadian jam 2.45 pagi, lelaki berusia 18 tahun itu memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Kuching telah terbabas ke pembahagi jalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan yang dipandu mangsa telah melanggar dua kenderaan lain iaitu Honda HRV dan Honda CR-Z Hybrid yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran tersebut, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.

Azmi berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu kenderaan Honda HRV turut cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

"Seorang lagi lelaki berusia 25 tahun yang memandu Honda CR-Z Hybrid tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.