Umat Islam diseru pertahan kesucian agama

Nassaruddin (tengah) bersama Baba Ghazali Ahmad Al- Fatani (kanan) pada Bicara Ulama Nusantara sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.Foto Bernama
Nassaruddin (tengah) bersama Baba Ghazali Ahmad Al- Fatani (kanan) pada Bicara Ulama Nusantara sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Umat Islam di negara ini diseru berpegang teguh pada tali Allah SWT dan mempertahankan kesucian agama Islam daripada dihimpit pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ahli panel dalam program Bicara Ulama Nusantara itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam menjaga perpaduan dan kesatuan, keharmonian dan kesefahaman bersama bangsa dan agama lain.

"Allah SWT tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam selagi ia tidak membawa kepada keburukan.

"Insya-Allah, kita dapat wujudkan suasana harmoni sesama masyarakat Islam dan bukan Islam dalam memperkukuhkan perpaduan yang telah lama wujud di negara ini," katanya mengupas topik bertajuk 'Memperteguh Kesatuan Ummah' di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Kira-kira 500 pengunjung hadir pada majlis itu yang diadakan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan yang bermula hari ini sehingga Ahad.

Hadir sama sebagai panel jemputan ialah Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Patani, Thailand Baba Ghazali Ahmad Al-Fatani, manakala Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr Mohd Ramizu Abdullah@Zakaria bertindak sebagai moderator program bicara tersebut.

Sementara itu Baba Ghazali berkata, semua ajaran daripada syariat Islam terangkum dalam nilai kesatuan yang merupakan elemen teras dalam Maqasid Syariah.

"Selain itu juga bagi memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan setiap kita perlu taat pada pemimpin dalam erti kata lain demi menjaga kemaslahatan selain mewujudkan kesatuan dan perpaduan.

"Di sinilah kepentingan Maqasid Syariah berfungsi bagi memastikan segala urusan kehidupan dan pentadbiran negara sentiasa menatijahkan kebaikan serta kesejahteraan kepada seluruh ummah," katanya.

Jelajah AKM dengan tema 'Keluarga Malaysia, Keluarga Digital' bakal memanfaatkan Keluarga Malaysia di Kelantan dengan pelbagai program rakyat dan digitalisasi selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha memantapkan pendigitalan negara. - Bernama