Nur Syahirah tukang jahit 'dinasour'

Nur Syahirah yang juga tukang jahit replika dinosaur bergambar bersama seekor daripada 18 ekor replika dinosaur animatronic yang diselenggaranya pada Pameran Dinosaur Encounter di Pusat Sains Negara baru-baru ini. Foto Bernama
Nur Syahirah yang juga tukang jahit replika dinosaur bergambar bersama seekor daripada 18 ekor replika dinosaur animatronic yang diselenggaranya pada Pameran Dinosaur Encounter di Pusat Sains Negara baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun dalam keadaan panas terik, Nur Syahirah Harun, 29, tetap tekun menjahit 'luka' Tyrannosaurus Rex (T-Rex) bagi menutup semula permukaan kulit yang 'dibedah' untuk memperbaiki kerosakan motor pada replika dinosaur 'animatronik' bersaiz sebenar itu.

Ini dilakukannya bagi memastikan dinosaur 'animatronik' yang dipamerkan di Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan, Pahang boleh beraksi segera untuk tatapan pengujung yang datang untuk menyaksikan haiwan prasejarah itu.

Bertugas sebagai renjer di Dinosaur Encounter di Pusat Sains Negara, di sini, bekas penjawat awam itu berkata, kerja tersebut merupakan sebahagian daripada proses penyelenggaraan yang dibuat selepas memperbaiki kerosakan tertentu pada pelbagai replika robotik yang dipamerkan.

Nur Syahirah (tengah) bergambar bersama renjer lain yang merupakan sebahagian dari krewnya di hadapan pintu masuk Pameran Dinosaur Encounter yang diadakan di Pusat Sains Negara baru-baru ini. Foto Bernama
Nur Syahirah (tengah) bergambar bersama renjer lain yang merupakan sebahagian dari krewnya di hadapan pintu masuk Pameran Dinosaur Encounter yang diadakan di Pusat Sains Negara baru-baru ini. Foto Bernama

Katanya, secara asasnya, tugas hakiki renjer adalah memberi maklumat terperinci mengenai kehidupan dan ciri-ciri setiap spesies haiwan prasejarah itu kepada pengunjung.

"Apabila berlaku kerosakan, renjer akan memperbaiki motor yang terdapat di dalam replika ini yang mana kami perlu membelah bahagian yang terlibat, selepas selesai, ia perlu dijahit semula.

''Nampak mudah kan? Tapi, sebenarnya, tidak, dan bukan semua renjer mampu melakukannya. Buat masa ini, saya sedang melatih renjer lain," katanya kepada Bernama.

Nur Syahirah berkata, luka yang dimaksudkan adalah bahagian terbelah atau rosak di mana-mana permukaan kulit haiwan prasejarah itu termasuk pada bahagian kuku dan gigi, serta perlu dijahit dengan menggunakan dua bahan utama iaitu jarum melengkung seakan mata kail dan tali tangsi menerusi kaedah jahitan insang pari.

Tambahnya, selain minat dan kemahiran asas menjahit, renjer perlu mempunyai tubuh badan kecil supaya tidak memberi tekanan kepada dinosaur sehingga boleh menyebabkan rangka replika patah ketika prosedur menjahit dilakukan.

Nur Syahirah menjahit semula permukaan kulit replika haiwan prasejarah itu yang 'dibedah' untuk memperbaiki kerosakan motor di replika dinosaur 'animatronik'. Foto Bernama
Nur Syahirah menjahit semula permukaan kulit replika haiwan prasejarah itu yang 'dibedah' untuk memperbaiki kerosakan motor di replika dinosaur 'animatronik'. Foto Bernama

"Bayangkan dengan saiz dinosaur yang besar dan tinggi, kerja-kerja menjahit hanya boleh dilakukan secara manual bermula dengan meletakkan gam kemudiannya dicantum menggunakan pengokot (stapler) sebelum dijahit.

"Bahkan, sebelum dijahit, saya perlu memastikan segala kerja-kerja teknikal seperti pembaikan motor atau bahagian rangka yang patah telah dibaiki sepenuhnya," katanya yang mengambil masa sehingga dua hari untuk menyiapkan tugas tersebut bergantung kepada keadaan ‘luka’ yang ada.

Tambahnya, selepas menjahit, kulit dinosaur yang diperbuat daripada silikon akan dicorakkan dengan menggunakan warna sepadan bertujuan menutup kesan jahitan terbabit.

Aksi Nur Syahirah ketika menjahit replika haiwan prasejarah itu di pameran Dinosaur Encounter di Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan menjadi tular di aplikasi TikTok, sekali gus berjaya menambat hati netizen berikutan keunikan melakukan proses penyelenggaraan tersebut.

Menurut Nur Syahirah pameran Dinosaur Encounter yang berteraskan teknologi realiti terimbuh atau augmented reality (AR), bertujuan mengajak pengunjung untuk merasai sendiri aura kehidupan sebenar dinosaur pada zaman prasejarah di tiga lokasi iaitu Pusat Sains Negara, Zoo Melaka di Melaka dan Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan.

Pengunjung berpeluang merasai suasana pengalaman berinteraksi secara langsung bersama 18 ekor dinosaur animatronic bersaiz sebenar dengan persekitaran habitat zaman dinosaur yang mengujakan. Foto Bernama
Pengunjung berpeluang merasai suasana pengalaman berinteraksi secara langsung bersama 18 ekor dinosaur animatronic bersaiz sebenar dengan persekitaran habitat zaman dinosaur yang mengujakan. Foto Bernama

Bahkan, katanya, selain dinosaur bersaiz sebenar yang ditonjolkan itu, keadaan persekitaran hutan di zoo itu membuatkan haiwan yang sudah lama pupus itu seolah-olah 'wujud' seperti di habitat asal ditambah pula dengan pergerakan robotik di bahagian kepala sehingga hujung ekor.

"Melalui sains dan teknologi, kami bawakan kepada pengunjung seolah-olah berada dan merasai zaman prasejarah serta ketika dinosaur mulai pupus melalui beberapa fenomena alam semula jadi seperti letusan gunung berapi dan penemuan fosil.

"Malah, di setiap lokasi terdapat keistimewaan tertentu, contohnya jika di Zoo Mini Taman Teruntum, ia diiktiraf sebagai zoo hibrid pertama di dunia, apabila menggabungkan elemen haiwan hidup, animatronik dan dinosaur," katanya. - Bernama