Ahli Parlimen digesa sokong Akta Kawalan Tembakau dan Merokok

Rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam diharap dapat bersama-sama memberi sokongan dan berdoa agar akta Akta Kawalan Tembakau dan Merokok diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.Tangkap layar kenyataan 51 NGO Islam pada Jumaat.
Rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam diharap dapat bersama-sama memberi sokongan dan berdoa agar akta Akta Kawalan Tembakau dan Merokok diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.Tangkap layar kenyataan 51 NGO Islam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 51 persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di Malaysia menggesa semua ahli Parlimen terutamanya yang beragama Islam untuk menyokong penuh pengenalan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok dan mewujudkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat dalam sidang kali ini.

Gabungan NGO itu dalam satu kenyataan bersama berkata, sokongan itu merupakan tanggungjawab ahli Parlimen untuk melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia.

Selain itu, mereka turut berharap rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam bersama-sama memberi sokongan dan berdoa agar akta tersebut diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ini demi menghindarkan generasi baharu umat Islam daripada terlibat dengan rokok dan tabiat merokok termasuk penggunaan produk merokok yang baharu seperti rokok elektronik atau vape dan shisha,” katanya pada Jumaat.

Kenyataan itu ditandatangani oleh antaranya, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) dan Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), serta disokong oleh antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Gabungan itu berharap agar perokok dalam kalangan umat Islam mengambil peluang kewujudan akta tersebut untuk berhenti dan menjauhi tabiat buruk merokok, vaping serta produk seumpamanya.

“Hormati juga fatwa-fatwa yang telah mewartakan haram dalam penggunaannya dan keterlibatan dengan produknya,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, mereka turut meminta komuniti Islam termasuk masjid, surau dan persatuan agar terus menggalakkan, memberi sokongan dan saluran bagi perokok untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan yang disediakan kerajaan.

“Kami juga berharap agar larangan merokok ini segera dikuatkuasakan oleh Jabatan Agama Islam di setiap negeri yang telah menfatwakan haram terhadap penggunaan rokok dan vape.

“Semoga usaha kita bersama dalam menjayakan kewujudan akta ini dan pelan Generasi Penamat diberi petunjuk serta diberkati ALLAH SWT,” katanya.