KHM hantar Kumar, Roslan tambah ilmu di Amsterdam

Subahan menyampaikan surat kepada Roslan dan Kumar selepas sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada Khamis. - Foto FB KHM
Subahan menyampaikan surat kepada Roslan dan Kumar selepas sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada Khamis. - Foto FB KHM
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengambil pendekatan proaktif apabila menghantar dua jurulatih penjaga gol kebangsaan, S Kumar dan Roslan Jamaluddin berguru di Akademi Penjaga Gol Martijn Drijver, Amsterdam, Belanda bermula 24 Julai hingga 6 Ogos ini.

Menurut Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, pendekatan itu bertujuan memberikan pendedahan kepada kedua-duanya menjelang kejuaraan besar Piala Dunia India 2023 dan Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur 2023.

Jelasnya, program disertai Kumar dan Roslan itu juga turut memberikan mereka proses pembelajaran baharu dalam mengendalikan kursus latihan selain berkongsi pengalaman bersama barisan jurulatih terbaik dunia.

“Apa yang KHM mahukan daripada kedua-dua jurulatih ini selepas mereka pulang daripada akademi tersebut adalah untuk menyalurkan pengalaman dan ilmu yang kepada semua jurulatih remaja di Malaysia.

“KHM membuat perancangan di mana selepas Kumar dan Roslan pulang dari Amsterdam, kami akan menganjurkan beberapa klinik kejurulatihan penjaga gol di mana kedua-dua mereka dan turun ke negeri-negeri dan bekerjasama dengan persatuan hoki negeri.

“Mereka juga akan menurunkan ilmu yang telah mereka peroleh kepada jurulatih-jurulatih yang bernaung di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).

“KHM juga mempunyai perancangan mengetengahkan jurulatih penjaga gol wanita dan kami kini dalam fasa untuk mengenalpasti jurulatih tersebut kerana kami tidak hanya memandang untuk mengetengahkan jurulatih penjaga gol lelaki tetapi juga ingin memperkasakan jurulatih wanita,” ujar Subahan dalam sidang media pada Khamis.

Untuk rekod, Kumar dan Roslan dijadualkan berlepas ke Amsterdam pada malam ini.

Sementara itu, Subahan turut mengumumkan tarikh baharu penganjuran Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 1 hingga 10 November depan.

Menurut Subahan, tarikh baharu itu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan pengesahan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Kami telah mendapat persetujuan beberapa negara untuk menyertai kejohanan tersebut dan senarai pasukan yang bertanding akan diumumkan dalam masa terdekat, di mana enam pasukan akan menyertai kejohanan edisi kali ini,” katanya.