Kerajaan Negeri Sembilan sasar 300,000 pengunjung NS Fest

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 300,000 pengunjung menghadiri Negeri Sembilan Food Festival atau lebih dikenali sebagai NS Fest 2022 pada 28 hingga 31 Julai ini di Dataran Nilai.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selepas penganjuran kali pertama NS Fest pada tahun 2019, program itu kembali diadakan dengan menggabungkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPN NS), Arena Usahawan dan Negeri Sembilan Food Festival.

"Objektif penganjuran NS Fest ini adalah mewujudkan 'programme branding' yang sinonim dengan Negeri Sembilan dan mampu menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk negeri ini malah dari negeri-negeri lain.

"Ia juga untuk menyelaraskan kesemua program berskala kecil atau sederhana yang dilaksanakan oleh agensi dan jabatan kerajaan di peringkat Negeri Sembilan secara bersepadu supaya dapat menghasilkan impak lebih berkesan," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata., penganjuran kali ini melibatkan sebanyak 250 reruai yang merangkumi usahawan dan pameran termasuk HPPN NS, Arena Usahawan serta agensi negeri dan persekutuan.

Katanya, selain gerai jualan dan pameran, aktiviti lain ialah pameran produk usahawan kraftangan, jualan promosi istimewa, Forum Perdana, demonstrasi masakan oleh chef terkenal dan muzikal adat perpatih.

"Bagi tahun ini terdapat pertambahan usahawan di Arena Usahawan NS Fest yang melibatkan 80 orang usahawan dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merangkumi sektor pemakanan, perkhidmatan, tekstil dan peruncit," katanya.

Tambah Aminuddin, HPPN NS kali ini turut menampilkan kelainan termasuk pameran lembu sado serta memperkenalkan buah nangka yang berasal dari Jempol iaitu sejenis nangka varieti baharu didaftar iaitu J41.

"Selain itu, NS Fest 2022 akan menempatkan pengusaha – pengusaha terdiri daripada pengusaha makanan tradisional dan pengusaha makanan umum dari Negeri Sembilan yang memiliki tarikan unik dan tersendiri," katanya.