Tiga pekerja cedera, kilang terbakar

Seorang pekerja melecur, manakala dua lagi patah tangan selepas terjun dari tingkat tiga untuk menyelamatkan diri. - Foto ihsan bomba
Seorang pekerja melecur, manakala dua lagi patah tangan selepas terjun dari tingkat tiga untuk menyelamatkan diri. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KEMAMAN - Tiga pekerja cedera dalam kebakaran di kilang CJ Bio Malaysia Sdn Bhd dekat kawasan perindustrian Kertih di sini, pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhamad Basri Kamarazaman berkata, kejadian berlaku jam 11.20 pagi melibatkan tiga pekerja berusia lingkungan 26 hingga 31 tahun.

Katanya, kesemua pekerja itu sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di aras tiga bangunan berkenaan sebelum ia terbakar.

"Seorang pekerja tempatan berusia 31 tahun melecur dan cedera di bahagian kepala manakala dua lagi pekerja iaitu masing-masing warga Myanmar patah tangan dan cedera di kepala selepas terjun dari tingkat tiga untuk menyelamatkan diri.

Keadaan kebakaran melibatkan tingkat tiga sebuah kilang yang beroperasi dekat kawasan perindustrian Kertih di Kemaman. - Foto ihsan bomba
Keadaan kebakaran melibatkan tingkat tiga sebuah kilang yang beroperasi dekat kawasan perindustrian Kertih di Kemaman. - Foto ihsan bomba

"Seorang lagi rakannya hanya cedera ringan. Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Menurut Muhamad Basri, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya satu jam kemudian kira-kira jam 12.26 tengah hari.

"Seramai 61 anggota penyelamat melibatkan Balai Bomba Kerteh, Paka dan Kijal dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

"Kebakaran melibatkan 30 peratus kawasan memproses suplemen ayam. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Dungun.