Apli dilantik Pengerusi PTPTN baharu

Apli Yusoff
Apli Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan pelantikan Apli Yusoff sebagai Pengerusi PTPTN yang baharu berkuat kuasa Isnin lalu.

Apli, 52, mengisi kekosongan jawatan tersebut berikutan penyandangnya, Datuk Wan Saiful Wan Jan telah tamat tempoh perkhidmatan pada 17 Jun 2022.

PTPTN menerusi satu kenyataan berkata, beliau berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1994 dan kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah Mara Incorporated Sdn Bhd.

“Beliau juga merupakan Presiden Squash Racket Association of Terengganu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi GAGASAN Kebangsaan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Tambah PTPTN, Apli sebelum ini juga pernah menyandang beberapa tanggungjawab antaranya memegang jawatan sebagai Pengerusi Tati Production Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah PTB Securities Sdn Bhd

Justeru, katanya, dengan pengalaman beliau itu diharap dapat membantu PTPTN menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani sekali gus merealisasikan usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara.

Dalam pada itu, PTPTN turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Saiful atas sumbangan dan baktinya sebagai Pengerusi PTPTN sejak 18 Jun 2018 sehingga 17 Jun 2022.