Sanches belum pasti sama ada pilih Milan atau PSG

Sanches
Sanches
A
A
A

PEMAIN tengah Lille, Renato Sanches mempunyai pilihan sama ada mahu berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) atau AC Milan selepas kedua-dua pasukan itu dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Presiden Lille, Oliver Letang berkata, pihaknya memberi kebebasan penuh kepada Sanches untuk memilih kelab baharunya memandangkan Lille sudah bersetuju untuk melepaskannya.

“Renato mempunyai dua tawaran yang sangat menarik. Tawaran itu datang daripada dua kelab yang sangat besar.

“Bagaimanapun, jika dia masih bersama, ia adalah kerana kami belum mencapai kata sepakat dengan kelab terbabit.

Apa yang pasti Renato akan pergi, tapi ke kelab mana saya sendiri pun tidak tahu.

“Saya ingin rahsiakan perincian perbincangannya. Cuma ia akan menjadi Paris atau Milan,” katanya.

Sebelum ini, Sanches dikaitkan ke PSG ketika kontraknya bersama Lille kini tinggal hanya setahun lagi.

Selain PSG, Milan turut dikatakan berminat untuk membawa pemain berusia 24 tahun itu ke San Siro selepas beberapa laporan memberitahu Rossoneri sudah membentangkan perjanjian bernilai €15 juta (RM67.9j) kepada Lille sekiranya mereka gagal mencapai persetujuan dengan PSG.