Jurutera syarikat minyak berstatus hafiz al-Quran

Wan Najran bersyukur dapat mengimbangi keperluan agama dan akademik.
Wan Najran bersyukur dapat mengimbangi keperluan agama dan akademik.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang jurutera syarikat pembinaan minyak dan gas luar pesisir antarabangsa membuktikan menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran merupakan satu nilai tambah kepadanya untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.

Wan Najran Wan Mohd Noh, 39, berkata, pengalamannya mengikuti kursus persijilan tahfiz di Darul Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2001 sesuatu istimewa kerana berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh setahun enam bulan sahaja.

Menurutnya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menghadiri temuduga dan terpilih mengikuti persijilan tahfiz di Darul Quran Kuala Kubu Bharu pada tahun 2001.

“Alhamdulillah saya dapat menghafaz al-Quran secara fast track dan seterusnya melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Pembuatan di UIAM dalam tempoh empat tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Wan Najran yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) berkata, pembelajaran tahfiz banyak memberi kelebihan kepadanya dalam mengimbangi keperluan agama dan akademik.

“Terlalu banyak kelebihan apabila menjadi hafiz al-Quran dan dalam masa sama kita belajar pengetahuan akademik.

“Salah satu pembelajaran yang saya dapat kutip ialah ilmu agama ini mendidik jiwa kita menjadi individu amanah, berakhlak dan berbudi pekerti mulia dan terpuji kerana kita belajar dan memahami al-Quran,” katanya.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

Bapa dua anak itu memberitahu, selain memberi tumpuan kepada kerjaya hakiki, dia turut menyumbang ilmu kepada masyarakat sekeliling.

Jelas imam Surau Ar Raudhah, Saujana Impian Kajang itu, peranannya sebagai hafiz al-Quran turut membantunya untuk turut sama terlibat secara langsung dalam mendidik dan memberi pengetahuan kepada masyarakat.

“Dengan ilmu yang diberi ALLAH ini saya mendapat tauliah daripada JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk mengajar tajwid dan al-Quran di masjid dan surau,” katanya.

Wan Najran yang juga salah seorang bekas ahli kumpulan nasyid Saujana berkata, keseimbangan ilmu akademik dan agama penting bagi melahirkan lebih ramai agamawan yang mempunyai pengetahuan tinggi.

“Masalah membelenggu masyarakat Islam pada masa ini ialah kita memisahkan agama dengan kehidupan iaitu kenapa golongan profesional ini tidak dididik dengan nilai agama?

“Maka timbul masalah golongan profesional diketuai oleh mereka yang tiada nilai keagamaan hingga berlaku permasalahan sosial, pecah amanah dan salah guna kuasa kerana kita sendiri membiarkan kelompok sebegitu,” jelas Wan Najran.

Katanya, sejarah membuktikan bahawa ramai tokoh ilmuwan Islam berjaya menerokai pelbagai disiplin ilmu dengan mengimbangi keperluan dunia dan akhirat.

Justeru, katanya, ibu bapa seharusnya membuang perasaan ‘takut’ untuk menghantar anak mempelajari ilmu agama kerana semata-mata menjadi ustaz.