Harimau Selatan kukuh cengkaman di puncak liga

Rodriguez (kiri) meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super menentang Penang di Stadium Bandaraya pada Rabu.
Rodriguez (kiri) meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super menentang Penang di Stadium Bandaraya pada Rabu.
A
A
A

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan jurang mata pendahulu Liga Super selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Rabu.

Kemenangan kesembilan liga diraih skuad Benjamin Mora itu membolehkan Harimau Selatan mengumpul 29 mata meninggalkan pesaing terdekat Sabah FC.

Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee berada di kedudukan kedua dengan 25 mata lebih satu perlawanan berbanding kelab dari selatan tanah air itu.

Kekalahan ketujuh liga itu menyaksikan Harimau Kumbang kini menduduki tangga ke-12 liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 12 perlawanan.

Pelawat tampil dengan misi melebarkan kedudukan di persada liga menguasai perlawanan apabila melakukan deretan percubaan menguji penjaga gol tuan rumah Hafizul Hakim.

Harimau Kumbang kendalian Zainal Abidin Hassan juga memberi saingan dengan menguji gawang pelawat, namun percubaan Gopi Rizqi dan Adib Ra'op gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Gol Harimau Selatan hanya hadir pada minit ke-69 menerusi tandukan Fernando Rodrigue yang menyudahkan hantaran Arif Aiman untuk tiga mata berharga pelawat.