Treler bawa muatan kayu balak terbalik

Anggota bomba membersihkan kesan tumpahan minyak di atas jalan. - Foto ihsan Polis Hulu Terengganu
Anggota bomba membersihkan kesan tumpahan minyak di atas jalan. - Foto ihsan Polis Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebuah treler yang membawa muatan kayu balak terbalik dalam kejadian dekat lampu isyarat Ajil, berhadapan Balai Polis Ajil, disini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku jam 4.30 petang ketika treler berkenaan menuju ke Wakaf Tapai untuk menghantar kayu balak.

"Sebelum kejadian, treler dipandu lelaki berusia 60 tahun itu membawa muatan kayu balak dari Kampung Kua menuju ke Felda Jerangau (tempat pemeriksaan balak Pejabat Perhutanan).

"Selepas selesai pemeriksaan, treler berkenaan meneruskan perjalanan menuju ke kilang di Wakaf Tapai, Marang melalui jalan Kuala Terengganu -Bukit Besi," katanya dalam kenyataan disini, pada Rabu.

Menurut beliau, ketika tiba di lokasi kejadian, treler terbabit tiba-tiba terbalik ke sebelah kiri jalan ketika ingin membelok apabila lampu isyarat hijau menyebabkan kesemua kayu balak terjatuh ke atas jalan.

"Akibat kejadian itu, terdapat kesan tumpahan minyak hitam dan minyak diesel di atas jalan.

"Pihak bomba membantu membersihkan kesan tumpahan minyak tersebut dan kesemua kayu balak telah dialihkan jam 6.30 petang," katanya.

Beliau berkata, pemandu yang mempunyai lesen memandu D dan E tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN166/59).