Polis Perak terima laporan rogol babitkan penceramah bebas

Mior Faridalathrash menyempurnakan gimik perasmian sempena Lawatan Kerja dan Amanat Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada Selasa.
Mior Faridalathrash menyempurnakan gimik perasmian sempena Lawatan Kerja dan Amanat Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada Selasa.
A
A
A

PARIT - Polis Perak mengesahkan menerima satu laporan kes rogol membabitkan penceramah bebas yang telah ditahan di Selangor pada Isnin.

Laporan itu diterima pada Ahad membabitkan mangsa seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu akan dibawa untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes.

"Ada satu laporan polis diterima di sini (Perak) dan kita sedang jalankan siasatan.

"Suspek pun sudah ditahan di Selangor dan besar kemungkinan suspek akan diserah kepada Kontinjen Perak untuk kita meneruskan siasatan bagi laporan polis yang kita terima," katanya ketika ditemui sempena Lawatan Kerja dan Amanat Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perak, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada Kontinjen Selangor sebelum siasatan dijalankan.

"Sekarang dia masih ditahan di Selangor, tetapi kita akan ambil dia untuk teruskan siasatan bagi kontinjen Perak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan, suspek yang ditahan sekitar jam 4.50 petang pada Isnin dan direman lima hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Siasatan awal mendapati, mangsa telah berkenalan dengan suspek sejak Mei tahun lalu dan daripada perkenalan tersebut, mangsa dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi yang berbeza.

Setakat ini, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka iaitu dua di Selangor, masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak melibatkan pengadu yang sama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, siasatan kes wanita yang dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat Kuala Kangsar, Mei lalu masih diteruskan.

Jelasnya, polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan suspek lain dan petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

"Kes itu masih belum selesai lagi jadi kita masih lagi mengesan suspek berkenaan dalam kes itu," katanya.

Pada 14 Jun lalu, lima lelaki termasuk teman lelaki mangsa berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh itu ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lalu.