Harga ubat perlu dikawal elak pencatutan

Amrahi
Amrahi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran melakukan kawalan harga terhadap ubat-ubatan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, tindakan itu bagi mengelakkan berlakunya pencatutan khususnya terhadap ubat-ubatan yang mengalami bekalan meruncing seperti demam, selesema dan antibiotik.

“Penyelarasan harga merupakan suatu keadaan yang kompleks, namun dari segi dasar, ia perlu dilakukan demi kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kekurangan bekalan ubat perlu dianggap sebagai sekuriti ubat-ubatan sebagaimana sekuriti makanan.

“Kerajaan perlu memandang dan menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ini dengan lebih serius lagi kerana ia melibatkan kesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan bekalan ubat-ubatan di pasaran tempatan dikesan sejak Oktober tahun lalu.

“Walaupun kerajaan membenarkan penggunaan stok penimbal KKM, tetapi saya rasa ketidakstabilan bekalan ini akan terus berlaku sehingga pandemik Covid-19 benar-benar terkawal dan menjadi endemik,” katanya.

Dalam pada itu, Amrahi berkata, peningkatan kes influenza like illness (ILI) turut menjadi faktor penyumbang bekalan ubat-ubatan berada dalam keadaan mendesak.

“Kadaan itu memberi kesan terhadap bekalan sedia ada,” katanya.

Ujarnya, semua pihak perlu bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian bersama dalam menghadapi isu kekurangan bekalan ubat.

“Jangan ada pihak yang menyorok bekalan untuk dapatkan keuntungan,” tegasnya.

Tegas Amrahi, masyarakat juga diingatkan agar membeli ubat mengikut keperluan.

“Usah membazir membeli ubat yang tidak perlu,” katanya.

Menyentuh mengenai peningkatan kos ubat-ubatan, beliau berkata, ia berlaku berdasarkan beberapa faktor, antaranya kawasan dan jenis pemilikan farmasi.

“Kos logistik adalah satu isu besar khusus nya di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Harga ubat-ubatan adalah berbeza jika operasi sesebuah farmasi dikendalikan oleh seseorang ahli farmasi secara persendirian atau jenis rantaian kecil mahupun besar,” katanya.

Beliau berkata, kos operasi dan keupayaan premis untuk membeli ubat secara pukal adalah satu cabaran yang benar.

“Maka wujudlah kuota-kuota di pasaran yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat,” katanya.