Budak lelaki ditampar, diugut enggan buat amang seksual

Suspek ditangkap dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. - Foto media sosial
Suspek ditangkap dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. - Foto media sosial
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun ditampar dan diugut dengan pisau oleh seorang pelajar lelaki tingkatan satu kerana enggan melakukan amang seksual di sebuah taman perumahan di Gurun, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa mengalami lebam di bahagian pipi kanannya akibat ditampar selain turut dicekik oleh suspek dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.

Menurutnya, suspek yang berusia 13 tahun itu mengenali mangsa telah mengajak mangsa ke kedai dengan menaiki kereta Perodua Kancil yang dipandunya.

"Semasa di dalam kereta, mangsa diarahkan oleh suspek untuk membuka seluar dan memaksanya melakukan perbuatan tidak bermoral namun mangsa menolak menyebabkan dia ditampar serta dipukul suspek.

"Suspek membawa mangsa pulang ke rumahnya dan sekali lagi mengarahkan perkara sama dan arahan itu tidak dituruti mangsa. Mangsa turut diacukan pisau semasa berada di rumah suspek namun mangsa berjaya lari keluar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bapa mangsa membuat laporan kejadian di Balai Polis Gurun selepas itu dan pada jam 7.19 malam hari sama, suspek ditahan di rumahnya.

Jelas Zaidy, hasil pemeriksaan ke atas mangsa terdapat kesan lebam di bahagian pipi kanan, kesan calar di bahagian kiri dada, kesan luka di bahagian kanan atas badan dan luka di bahagian lutut kanan kakinya.

Menurutnya, tiada saksi yang nampak kejadian berlaku dan mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Suspek ditangkap dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” ujarnya.