Kes Covid-19, ILI meningkat: KPM ada pelan kontingensi

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersedia untuk menghidupkan semula pelan kontingensi buat pelajar sekolah sekiranya peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan Penyakit Seperti Influenza (ILI) berada dalam keadaan tidak terkawal.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bagaimanapun KPM perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.

"Apa yang paling penting setiap protokol yang ditetapkan KKM perlu dipatuhi, KPM akan berbincang dengan KKM dan melihat pendekatan yang perlu dilaksanakan (untuk mengekang wabak berkenaan).

"Kita memang sentiasa melakukan perbincangan untuk memastikan walaupun keadaan Covid-19 dan influenza yang sedikit meningkat, kita masih boleh meneruskan persekolahan dengan selamat dan teratur,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Taman Pancarona, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian apabila ditanya usaha KPM bagi memastikan kes Covid-19 dan influenza tidak menular dalam kalangan pelajar yang hadir ke sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-28 (ME 28/2022) dari 10-16 Julai meningkat sebanyak 23.4 peratus manakala kes ILI dan Severe Acute Respiratory Infection Covid-19 meningkat 8.5 peratus.

Sementara itu mengulas mengenai Liga Tunas yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Radzi memaklumkan ia merupakan medan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata, liga yang julung kali diadakan itu juga boleh dijadikan sebagai platform untuk melahirkan pelapis bagi skuad bola sepak kebangsaan termasuk pasukan Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

"Program yang julung kali ini diadakan dalam konteks pertandingan bola sepak di peringkat sekolah seluruh negara, dengan lapan pasukan terbaik dari setiap daerah akan menyertai pertandingan ini dan kita akan langsungkan sehingga peringkat kebangsaan.

Terdahulu program berkenaan dilancarkan oleh Radzi bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Faizal Azumu. - Bernama