Dua warga asing antara tiga tokan dadah diberkas

Antara dadah yang dirampas menerusi serbuan melibatkan 20 pusat hiburan sekitar ibu kota bermula 15 Julai sehingga 17 Julai lalu.
Antara dadah yang dirampas menerusi serbuan melibatkan 20 pusat hiburan sekitar ibu kota bermula 15 Julai sehingga 17 Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing dipercayai tokan dadah diberkas dalam serbuan melibatkan 20 pusat hiburan sekitar ibu kota bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan sepanjang tiga hari itu dijalankan bermula jam 11 malam sehingga 5 pagi.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Kuala Lumpur (JIPS KL) dan Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Kuala Lumpur.

"Tiga lelaki dipercayai pembekal dadah terdiri daripada seorang individu warga tempatan, seorang warga Iran dan seorang lagi merupakan warga Bangladesh berjaya diberkas dalam serbuan itu.

"Selain itu, 918 individu diperiksa manakala 180 individu turut ditahan di bawah pelbagai kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, pelbagai jenis dadah turut dirampas, antaranya jenis kokain, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), ekstasi dan erimin 5.

"Selain itu, tiga saman di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah," katanya.

Menurutnya, tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.