Pembantu kedai ditahan keluarkan kata-kata kesat kepada polis

Zaizul Rizal
Zaizul Rizal
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang pembantu kedai runcit ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang sedang menjalankan tugas pada Isnin.

Kejadian jam 8 pagi itu berlaku semasa anggota polis sedang melaksanakan tugas di bawah Op Pematuhan di Bandar Pasir Puteh di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, dalam kejadian tersebut lelaki berusia 27 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda ditahan kerana melakukan tiga kesalahan iaitu mengabaikan isyarat lalu lintas, lesen tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Menurutnya, anggota bertugas kemudiannya mengeluarkan saman di atas kesalahan yang dilakukan suspek.

"Namun demikian, suspek tidak berpuas hati dengan tindakan saman oleh anggota bertugas dan telah mengeluarkan kata-kata "mudah polis cari pitih air" kepada anggota bertugas.

"Anggota bertugas menerangkan kepada suspek akibat daripada kata-kata kesat yang dikeluarkannya tetapi tidak diendah malah mengatakan perkataan "bodo", katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zaizul Rizal berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bersama motosikalnya untuk siasatan lanjut bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan satu kertas siasatan lain telah dibuka serta disiasat bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zaizul Rizal berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabar pihak polis. Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan tugas," katanya.