Penagih dadah hina Islam ditahan

Suspek yang ditahan polis dalam serbuan oleh pasukan Kontinjen Kelantan di Machang pada Isnin. Gambar kecil: Muhamad Zaki Harun
Suspek yang ditahan polis dalam serbuan oleh pasukan Kontinjen Kelantan di Machang pada Isnin. Gambar kecil: Muhamad Zaki Harun
A
A
A

MACHANG - Seorang lelaki positif dadah yang menghina agama Islam dalam satu klip video yang tular ditahan polis di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, di sini, pada Isnin.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada jam 11.30 pagi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis di Kontinjen Kelantan menerima satu laporan polis berkaitan seorang individu menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui satu klip video yang dibuat di akaun Facebook.

“Bertindak atas laporan polis yang diterima sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang membuat serbuan di alamat Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang dan menangkap suspek dalam video yang tular.

“Hasil soal siasat suspek mengaku memuat naik video berdurasi selama empat minit 14 saat yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW di lokasi tangkapan.

“Suspek tersebut tidak bekerja dan ujian saringan air kencing dijalankan didapati positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat terhadap suspek di mahkamah pada Selasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505b Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995,” katanya.