Pasukan bencana Istana Negara bantu mangsa banjir di Baling

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara menyediakan barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah. Gambar ihsan: Istana Negara
Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara menyediakan barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah. Gambar ihsan: Istana Negara
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara berlepas ke Baling, Kedah, pada Isnin bagi misi menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir buruk baru-baru ini.

Istana Negara, menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, memaklumkan misi bantuan itu diketuai Juruiring Tentera Laut Seri Paduka Baginda, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim dan melibatkan 26 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai serta kakitangan Istana Negara serta 10 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).

Turut menyertai misi itu Juruiring Polis Seri Paduka Baginda, SAC Datuk Azry Akmar Ayob.

Sumbangan yang akan dihulurkan berbentuk peralatan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, pengisar dan periuk nasi serta barang keperluan rumah seperti tilam, selimut dan bantal.

Istana Negara memaklumkan pasukan itu turut akan menyampaikan sumbangan berbentuk baju sekolah, alat tulis dan kasut sekolah daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada 396 pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al Kahriah di Kupang, Baling.

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara juga dilengkapi dengan peralatan untuk membantu membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir seperti sekolah dan dewan komuniti.

"Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mangsa banjir di Baling, Kedah dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” menurut Istana Negara.

Dalam kejadian 4 Julai lepas, banjir lumpur di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas.

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka Baginda dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana atau musibah.

Terdahulu, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara turut menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang. - Bernama.