Korea Selatan lanjut sekatan perjalanan ke Ukraine, enam negara lain

No Image Caption
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan melanjutkan larangan perjalanan ke Ukraine dan enam negara lain yang sedang dilanda konflik, serta beberapa bahagian di Rusia, Belarus dan Filipina, sehingga akhir Januari tahun depan bagi menghindari risiko keselamatan yang berterusan, kata kementerian luar negara itu pada Isnin.

Menurut Agensi Berita Yonhap, sekatan perjalanan untuk warga Korea Selatan itu dijadualkan tamat pada 31 Julai.

Enam negara yang terlibat adalah Afghanistan, Iraq, Somalia, Yaman, Syria dan Libya. Ia turut menjejaskan beberapa wilayah di Rusia dan Belarus, yang terletak dalam jarak 30 kilometer dari sempadan Ukraine, bersama dengan wilayah selatan kepulauan Filipina, tambah kenyataan itu.

Kementerian itu memetik keadaan keselamatan tempatan, kemungkinan ketidakstabilan keselamatan yang tinggi dan risiko keganasan berterusan di wilayah terlibat "untuk tempoh masa yang agak lama". - Bernama