Parti Imran Khan menang pilihan raya kecil wilayah Punjab

Imran Khan
Imran Khan
A
A
A

NEW DELHI - Parti bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan, Tehreek-e-Insaf (PTI) memenangi pilihan raya kecil DUN Punjab pada Ahad, membuktikan popularitinya sebagai pemimpin rakyat.

PTI memenangi 15 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kecil itu, manakala pesaing utamanya dari Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Perdana Menteri Shehbaz Sharif memperoleh empat kerusi dan satu kerusi dimenangi calon bebas, menurut keputusan tidak rasmi yang disiarkan oleh media Pakistan.

Pemimpin PML-N terpaksa akur dengan kekalahan mereka apabila PTI, tanpa boleh dipertikaikan telah mendahului semasa pengiraan undi pada Ahad.

Kerusi-kerusi itu kosong selepas ahli dewan daripada PTI yang berpaling tadah dalam undi perhimpunan khas pada April lepas hilang kelayakan. Undi kontroversi itu menyaksikan anak lelaki Shehbaz, Hamza Shehbaz dipilih sebagai ketua menteri Punjab.

Kemenangan kukuh PTI meningkatkan kekuatannya di dewan perundangan wilayah itu dan kerajaan Hamza menghadapi laluan sukar kerana tidak memiliki majoriti mudah.

Perhimpunan pilihan raya Imran telah menarik ramai orang dan sepanjang kempen itu beliau menuduh PML-N dan sekutunya sebagai sebahagian daripada operasi perubahan rejim yang didakwa diatur oleh Amerika Syarikat di Pakistan.

Beberapa hari sebelum partinya kehilangan kuasa di Punjab, wilayah paling ramai penduduk dan penting daripada segi politik, Imran digulingkan sebagai perdana menteri pada malam 9 April melalui undi tidak percaya di dewan perundangan negara itu.

Bekas perdana menteri itu telah berbulan-bulan menggesa pilihan raya negara dipercepatkan.

Sepanjang kempen pilihan rayanya, Imran memberi tumpuan kepada perjuangannya untuk "kebebasan sebenar" dan kedaulatan Pakistan.

Mesej itu menarik perhatian orang ramai, yang turut kecewa dengan kenaikan inflasi dan kekurangan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Imran berkata "petugas PTI kami dan pengundi Punjab" bukan sahaja mengalahkan PML-N tetapi juga "seluruh jentera negeri" dan "sebuah Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) yang berat sebelah".

"Satu-satunya jalan ke hadapan adalah mengadakan pilihan raya (umum) yang adil dan bebas di bawah ECP yang boleh dipercayai. Jalan lain hanya akan membawa kepada ketidaktentuan politik yang lebih besar dan kekacauan ekonomi yang lebih buruk," tambahnya.

Kemenangan undian kecil PTI juga menangkis tanggapan Punjab sebagai kubu kuat keluarga Sharif yang diketuai oleh bekas perdana menteri Nawaz Sharif, yang tinggal dalam buangan di London. Shehbaz merupakan adik kepada Nawaz.

"Satu-satunya jalan ke hadapan dari sini ialah mengadakan pilihan raya (kebangsaan) yang adil dan bebas di bawah ECP yang boleh dipercayai. Sebarang laluan lain hanya akan membawa kepada ketidaktentuan politik yang lebih besar dan kekacauan ekonomi yang lebih teruk," tambahnya.

Kemenangan undian kecil PTI juga mematahkan tanggapan Punjab sebagai kubu kuat keluarga Sharif yang diketuai oleh abang Shehbaz dan bekas perdana menteri Nawaz Sharif, yang tinggal dalam buangan di London.

Penganalisis dan wartawan Pakistan berkata keputusan itu membuktikan rayuan besar-besaran Imran.

"Lebih daripada 25 Julai 2018, hari ini Imran Khan telah tiba sebagai pemimpin politik yang benar-benar popular di Pakistan dengan sokongan akar umbi. Sukar untuk melihat apa yang menghalangnya dari sini," kata wartawan Khurram Husain, merujuk kepada pilihan raya kebangsaan 2018 di mana PTI merupakan parti tunggal terbesar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!