Mahkamah bagi tempoh sebulan Khalid Redza lantik peguam

Laporan Sinar Harian berkenaan pertuduhan terhadap Khalid Redza dan anaknya.
Laporan Sinar Harian berkenaan pertuduhan terhadap Khalid Redza dan anaknya.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin memberi tempoh sebulan kepada seorang peniaga Khalid Redza Shuib, 41, untuk melantik peguam berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak dan mencederakan wanita.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed memberi tempoh sehingga 18 Ogos ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memaklumkan yang laporan perubatan telah diperolehi.

Beliau berkata, jika tertuduh gagal melantik peguam, dia perlu membawa kes itu sendiri.

Mengikut pertuduhan, Khalid Redza didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit wanita berkenaan melecur dan didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa mengabaikan seorang kanak-kanak berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022

Sementara itu di Mahkamah Majistret Seremban, mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes bunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan Siti Syarifah yang dihadapi Khalid Redza.

Majistret Mohd Firdaus Salleh menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan yang laporan makmal, forensik dan kimia masih belum diperolehi.

Dalam prosiding berkenaan, peguam pemerhati, Noor Azizi Abdull Aziz yang mewakili keluarga mangsa Siti Syarifah turut hadir di mahkamah.

Di Mahkamah Majistret Seremban berasingan, Majistret Norzaliza Tesmin turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes ke atas Khalid Redza bagi pertuduhan membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29.

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

Khalid Redza turut menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di No.518-1, Jalan Temiang, Taman Nee Yan di Seremban antara 3 hingga 17 Mac lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan tengkorak, geraham dan cebisan tulang kanak-kanak perempuan hasil siasatan lanjut ke atas suspek utama kes penemuan mayat tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah.

Suspek lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita dibawa ke kawasan belukar dekat tangki air dan menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak itu ditanam.