[VIDEO] Lelaki hina Islam direman empat hari

Seorang lelaki direman empat hari bermula Isnin untuk siasatan kes hina agama Islam.
Seorang lelaki direman empat hari bermula Isnin untuk siasatan kes hina agama Islam.
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki berstatus duda yang menghina agama Islam direman empat hari bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 39 tahun itu direman sehingga Khamis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Kamarul Azhan
Wan Kamarul Azhan

Pada Ahad, suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong, Selangor susulan satu laporan polis telah dibuat orang awam pada jam 3.28 pagi, hari yang sama.

Siasatan dan tangkapan dibuat bersabit satu video berdurasi 36 saat yang tular di Instagram memaparkan seorang lelaki menghina ALLAH, agama Islam dan bangsa Melayu.

Susulan tangkapan suspek, polis turut merampas satu telefon bimbit yang digunakan oleh suspek bagi merakam video itu.

Kes disiasat oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan diklasifikasi di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.