Pemilihan Presiden baharu India diadakan pada Isnin

India bakal memilih presiden baharu pada Isnin berikutan tempoh Presiden Ram Nath Kovind akan berakhir pada 24 Julai. - Foto 123rf
India bakal memilih presiden baharu pada Isnin berikutan tempoh Presiden Ram Nath Kovind akan berakhir pada 24 Julai. - Foto 123rf
A
A
A

NEW DELHI - India bakal memilih presiden baharu pada Isnin berikutan tempoh Presiden Ram Nath Kovind akan berakhir pada 24 Julai dan keputusan dijangka diumumkan pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan antara calon wanita Draupadi Murmu yang menerima sokongan Perikatan Demokratik Kebangsaan (NDA) dan calon parti pembangkang, Yashwant Sinha.

Turut berada di dalam pakatan NDA ialah Parti Bharatiya Janata (BJP).

Tidak seperti Perdana Menteri yang dilantik terus oleh rakyat sebagai ahli Parlimen, Presiden India pula dilantik secara tidak langsung menerusi undi elektoral.

Ia membabitkan undian daripada 776 ahli Parlimen serta 4,033 ahli 28 Dewan Undangan Negeri dan majlis wilayah yang ditadbir pusat.

Murmu, 64, yang berasal dari negeri Odisha memulakan kerjayanya sebagai guru sebelum menyertai arena politik. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai naib presiden parti pemerintah itu.

Beliau bakal dicabar Sinha yang pernah menerajui Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar.

Sinha, 84, juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dari 2002-2004 dan merupakan pengkritik kuat dasar Perdana Menteri Narendra Modi.

Beliau baru-baru ini menyertai Kongres Trinamool (TMC), sayap pembangkang yang mentadbir Bengal Barat.

Selain itu, Sinha juga pernah dua kali menjadi menteri kewangan dari 1990-1991 dan 1998-2002.

Pakar dan pemerhati politik percaya calon parti pemerintah mempunyai peluang agak cerah berdasarkan sokongan yang diterima. - Bernama