Pandangan Tun Daim jadi dorongan Pas

Mohd Amar (dua dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bagan Serai kali ke-67 di Bukit Merah pada Ahad.
Mohd Amar (dua dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bagan Serai kali ke-67 di Bukit Merah pada Ahad.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pandangan ahli politik veteran, Tun Daim Zainuddin yang menjangkakan Pas bakal memperoleh lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi dorongan kepada parti itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan positif daripada bekas Menteri Kewangan itu boleh dijadikan pembakar semangat kepada ahli untuk bekerja lebih kuat.

"Pandangan beliau itu bersifat peribadi kerana perkara ini hanya dapat dilihat bila tiba pilihan raya nanti. Kita ucapkan terima kasih kerana beliau beri pandangan positif terhadap Pas.

"Kita hendak pastikan bukan sahaja Pas yang menang tetapi Perikatan Nasional (PN). Jika sendirian kita tidak boleh menjadi kerajaan, kita memerlukan sokongan rakan-rakan dalam PN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Bagan Serai kali ke-67 di Bukit Merah pada Ahad.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid.

Sebelum ini media melaporkan Daim menjangkakan Pas memperoleh banyak kerusi susulan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang secara tidak langsung mendorong peralihan pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, jentera di setiap negeri diarahkan untuk meningkatkan gerak kerja dengan mendekati pengundi bukan Islam dan golongan berusia 18 tahun sebagai persediaan dalam menghadapi PRU15.

"Usaha kami berterusan dengan mendekati masyarakat bukan Islam menerusi program-program dilaksanakan. Dalam tempoh 30 tahun kita bertahan di Kelantan, masyarakat bukan Islam boleh menerima kita.

"Selain itu, pengundi muda ini sudah tentu satu cabaran buat semua parti, jadi kita letakkan tugas kepada Dewan Pemuda Pas dan Lajnah Pas untuk memainkan peranan," katanya.