100,000 penduduk Puncak Alam menanti kemudahan awam

Rozali (berdiri, empat dari kiri) bergambar bersama peserta pada Sukaf 2022 kali ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam pada Ahad.
Rozali (berdiri, empat dari kiri) bergambar bersama peserta pada Sukaf 2022 kali ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam pada Ahad.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Kira-kira 100,000 penduduk di Bandar Puncak Alam masih menanti kemudahan awam seperti balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan di kawasan itu bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd, Tan Sri Rozali Ismail berkata, permohonan berhubung kemudahan itu sudah diperjuangkan Persatuan Penduduk Puncak Alam sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini permohonan kemudahan awam itu masih menjadi tanda tanya kerana ia masih belum diluluskan kerajaan.

"Kita harap pihak berkuasa dapat membantu penduduk Puncak Alam yang telah bertambah dari semasa ke semasa.

"Sekarang ini sudah lebih 20,000 rumah di Puncak Alam ini dibina termasuk syarikat saya sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas Karnival Sukan Antara Fasa Bandar Puncak Alam (Sukaf 2022) kali ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam pada Ahad.

Rozali berkata, pihaknya bersedia untuk berkerjasama dengan pihak kerajaan untuk menyediakan tapak bagi pembinaan projek kemudahan awam terbabit.

Jelas beliau, tapak bagi projek itu nanti sudah dikenal pasti di kawasan berhampiran dengan perumahan penduduk.

"Pembinaan balai polis ini penting bagi menyelesaikan isu berkaitan keselamatan penduduk, manakala balai bomba pula diperlukan untuk membantu penduduk menghadapi bencana dan kebakaran serta klinik amat penting untuk membantu penjagaan kesihatan kepada penduduk setempat," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 0.9 hektar tanah di Puncak Alam diperuntukkan bagi pembinaan kompleks sukan untuk kemudahan penduduk setempat dan perbincangan mengenai fasiliti sukan akan dibincangkan bersama Persatuan Penduduk Puncak Alam.

Menurut beliau, kompleks itu nanti dirancang untuk dibangunkan dan dibina kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan.

"Antara kemudahan yang disediakan di kompleks sukan ini antaranya tapak futsal, badminton, gelanggang takraw, bola jaring dan kemudahan gimnasium.

"Kemudahan kompleks sukan ini amat diperlukan dan menjadi kemestian terutama di kawasan perbandaran," katanya.