PKR terima notis RoS susulan aduan pemilihan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Sinar Harian: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Sinar Harian: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menerima notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), susulan aduan berkaitan keputusan Pemilihan PKR yang telah diadakan baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau berbincang dengan peguam parti pada pagi Ahad setelah mendapat surat RoS.

“Saya dari jam lapan pagi tadi bersama peguam-peguam parti. Parti telah menerima surat notis daripada RoS yang meminta Setiausaha Agung parti mengemukakan penjelasan terhadap sejumlah aduan yang diterima RoS berkenaan dengan proses pemilihan yang telah diadakan baru-baru ini.

“Sejurus mendapat surat itu, perkara pertama di fikiran saya adalah saya mesti bersedia untuk keadaan paling sukar dan paling buruk seumpama yang berlaku pada DAP pada tahun 2013 dan yang berlaku pada MIC pada 2015.

“Tapi, saya percaya dengan sokongan daripada rakan pimpinan lama dan baharu, tapi untuk minit-minit terakhir ini (sebagai Setiausaha Agung), saya akan pertahankan parti ini daripada sebarang tindakan daripada pendaftar pertubuhan,” katanya.

“Saya rasa, saya perlu bersedia untuk senario terburuk. Seperti apa yang dihadapi DAP pada 2013 dan MIC pada 2015,” katanya pada sesi penggulungan Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Ketua Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pihaknya telah menerima lebih 1,800 aduan penipuan dalam proses pengundian semasa pemilihan parti pada Mei dan menangguhkan kongres nasionalnya dari Jun ke Julai untuk membenarkan audit forensik pemilihan.

Pihak audit yang dilantik menyatakan terdapat cubaan untuk menggodam keputusan pemilihan yang kemudiannya mengesyorkan parti itu mengemas kini rekod pengundian.

Artikel Berkaitan: