4 maut kemalangan disyaki aktiviti lumba haram

Kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu difahamkan melibatkan motosikal dan kereta yang mengorbankan tiga maut manakala tiga lagi parah.
Kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu difahamkan melibatkan motosikal dan kereta yang mengorbankan tiga maut manakala tiga lagi parah.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta yang mengakibatkan empat maut di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada awal pagi Ahad dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian pada jam 4 pagi itu berlaku dari arah Bayan Baru menghala ke pusat bandar.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

"Kita menerima maklumat pada jam 4.30 pagi mengenai kejadian tersebut. Siasatan mendapati kemalangan berlaku melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

"Selain beberapa buah motosikal, dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, sehingga kini, tujuh mangsa dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan yang mana, empat disahkan meninggal dunia.

"Empat yang maut itu adalah tiga meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP). Selain itu, tiga mangsa masih menerima rawatan di hospital sama, yang mana seorang mangsa masih berada di zon merah dan dua lagi mangsa di zon kuning.

"Mangsa yang maut berusia lingkungan 17 hingga 25 tahun iaitu Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25 dari Bayan Lepas, Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22 dari Pendang, Kedah, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19 dari Bayan Lepas dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 dari Georgetown," katanya.

Sementara itu, Soffian berkata, mangsa yang mengalami kecederaaan berusia antara 19 hingga 34 tahun.

"Mereka yang cedera adalah Mohd Haziq Harris, 34, dari Bayan Lepas yang mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di zon merah.

"Dua lagi iaitu Muhammad Rahimi Shukor, 19 dari Ayer Itam yang mengalami kecederaan di muka dan kepala serta Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22 yang berasal dari Pendang, Kedah yang mengalami kecederaan di tangan, kaki serta muka sedang dirawat di zon kuning," katanya.

Beliau berkata, sebelum kejadian, polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibupejabat Polis Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

"Perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur. Oleh demikian, polis menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini kerana ia bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

"Ibu bapa juga diseru supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak agar tidak melibatkan diri dalam apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mendatangkan kemudaratan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.