Mexico tangkap ketua kartel dadah antarabangsa

Caro Quintero bersama rakan kongsi, Miguel Angel Felix Gallardo menjadi pengasas bersama Kartel Guadalajara, sebuah daripada tiga kartel dadah terbesar Mexico. - AP
Caro Quintero bersama rakan kongsi, Miguel Angel Felix Gallardo menjadi pengasas bersama Kartel Guadalajara, sebuah daripada tiga kartel dadah terbesar Mexico. - AP
A
A
A

BANDARAYA MEXICO - Pihak berkuasa Mexico pada Jumaat memaklumkan Rafael Caro Quintero, anggota pengasas sebuah daripada kartel dadah terbesar Mexico ditahan tentera laut.

Caro Quintero bersama rakan kongsi, Miguel Angel Felix Gallardo, menjadi pengasas bersama Kartel Guadalajara, sebuah daripada tiga kartel dadah terbesar Mexico.

Kartel Guadalajara didakwa menerajui penyeludupan ganja, kokain dan heroin ke Amerika Syarikat (AS), menjadikannya sebagai sasaran utama pihak berkuasa AS, lapor Agensi Anadolu.

Pernah ditahan pada 1985 atas pelbagai tuduhan termasuk menculik, mendera dan membunuh ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA), Enrique 'Kiki' Camarena, Caro Qiuntero dibebaskan pada 2013 selepas merengkuk selama 28 tahun di penjara.

Camarena berjaya menyusup ke dalam Kartel Guadalajara dan menjadi tamparan hebat terhadap kartel berkenaan.

Menerusi satu operasi bersama dengan DEA pada 1984, pihak berkuasa Mexico merampas 4,000 tan marijuana di sebuah ladang milik Caro Quintero dan dianggap rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara berkenaan.

Caro Quintero menyalahkan Camarena yang mengakibatkannya kerugian berpuluh juta dolar dan mengarahkan supaya ejen DEA itu diculik dan dibunuh.

Selepas hakim persekutuan membenarkan dia dibebaskan pada 2013, Pejabat Peguam Negara Mexico mengeluarkan satu lagi waran tangkap terhadap Caro Quintero, kali ini untuk diekstradisi ke AS.

Sejak itu, Caro Quintero sentiasa menjadi buruan. Dia menjadi pelarian paling dikehendaki DEA dan agensi berkenaan menawarkan ganjaran sehingga AS$20 juta untuk mendapatkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah itu.

Dia berulang kali menafikan terbabit dalam pengedaran dadah. - Bernama