Sabah gagal manfaat aksi di Likas

Forestieri meraikan jaringan keduanya yang juga merupakan gol kemenangan JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers
Forestieri meraikan jaringan keduanya yang juga merupakan gol kemenangan JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

AKSI di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan Sabah FC apabila tewas 1-2 ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, malam ini.

Biarpun mendahului 1-0 hasil jaringan Par Tae-su pada minit ke-19, namun penyerang import JDT, Fernando Forestieri berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 sebelum sepakan percumanya pada masa kecederaan memastikan skuad Harimau Selatan membawa pulang tiga mata berharga sekali gus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super dengan 27 mata.

Keputusan seri antara kedua-dua pasukan berkenaan bagaimanapun tidak mengubah dua kedudukan teratas Liga Super apabila menyaksikan JDT terus unggul selaku pendahulu dengan 25 mata setelah mengharungi 10 perlawanan, manakala Sabah FC meraih 24 mata setelah mengharungi 11 perlawanan.

Aksi malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan dengan Sabah melancarkan asakan bertali arus ke gawang JDT dalam usaha membuka jaringan.

Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila peman import Sabah FC, Park Tae-su berjaya memecahkan kebuntuan apabila meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-19.

Gol berpunca dari hantaran lintang Gary Steven Robbat dikeluarkan pertahanan JDT dan menyaksikan Tae-su tenang mengawal bola sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias yang sekali gus menggamatkan stadium.

Pemain Sabah FC, Rizal Ghazali (kiri), cuba mengekang asakan daripada pemain JDT, La'Vere Corbin-Ong pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers
Pemain Sabah FC, Rizal Ghazali (kiri), cuba mengekang asakan daripada pemain JDT, La'Vere Corbin-Ong pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Johor Southern Tigers

Ketinggalan 0-1 bagaimanapun tidak melunturkan semangat kesebelasan JDT yang dilihat semakin hebat melancarkan serangan balas dalam usaha menjaringkan gol penyamaan.

Usaha-usaha berkenaan akhirnya berhasil apabila tonggak serangan JDT, Fernando Forestieri berjaya memanfaatkan hantaran pemain sayap, Arif Aiman Hanapi bagi merembat leret menewaskan penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-26.

Terikat 1-1 menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan sebelum menuju bilik persalinan.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan asakan.

Malah kemasukan pemain berpengalaman, Safiq Rahim pada babak kedua turut menyaksikan skuad Harimau Selatan serius mahu melakarkan kemenangan pada perlawanan berkenaan.

Namun, hampir kesemua percubaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang oleh benteng pertahanan tuan rumah sehinggalah ke penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, pada saat-saat akhir masa kecederaan, Forestieri sekali lagi muncul wira skuad Harimau Selatan apabila berjaya menyempurnakan sepakan percuma, sekali gus gol kemenangan buat JDT.


SABAH FC – Khairul Fahmi Che Mat, Jackson De Saouza, Park Tae- su, Baddrol Bakhtiar (kapten), Tommy Mawat Bada (Rawilson Batuil), Taiki Kagayama, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Gary Steven Robbat, Dominic Tan, Saddil Ramdani, Jose Alberto Djalo Embalo

JDT – Mohd Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Mohd Afiq Fazail, Leandro Velazquez, Shane Lowry, La’vere Corbin-Ong, Syafiq Ahmad, Ignacio Insa, Shahrul Mohd Saad, Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri

PENGADIL – Mohd Fusser Mad Sallih