Dasar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi baharu dibangunkan

Noraini
Noraini
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang membangunkan Dasar Pengantarabangsaan dan Pelan Tindakan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang baharu selaras dengan misi untuk menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan di peringkat serantau dan global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penambahbaikan bagi menggantikan dasar lama itu dilakukan dengan mengambil kira senario semasa dan perubahan landskap pendidikan dunia.

Beliau berkata, situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada 2020 dan 2021 memberikan cabaran kepada Malaysia untuk mencapai sasaran menghasilkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025.

"Menjadi harapan saya agar dasar dan pelan tindakan pengantarabangsaan yang sedang dimurnikan ini bukan sahaja dapat menambah baik pertumbuhan pelajar dan staf antarabangsa serta meningkatkan mobiliti inbound dan outbound, malah dapat meningkatkan pengalaman positif pelajar antarabangsa di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena lawatan Noraini ke Makassar, Indonesia bagi menyampaikan ucaptama bertajuk "Dinamika Internasional dan Hubungannya dengan Upaya Mewujudkan Entitas Masyarakat Sulawesi Selatan Berskala Global" sempena program Mengkonstruksi Entitas Global Masyarakat Sulawesi Selatan yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-68 Universitas Muslim Indonesia (UMI).

Noraini berkata, strategi pengantarabangsaan yang berkesan perlu dikenal pasti bagi mengatasi isu, cabaran dan jurang pelaksanaan sedia ada dan ini dapat dilakukan melalui pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

Beliau berkata, dalam usaha menggalakkan lebih ramai lagi pelajar antarabangsa termasuk di Indonesia datang ke Malaysia, kerajaan Malaysia telah menawarkan biasiswa yang dinamakan Malaysia International Scholarship (MIS).

Katanya, ketika ini terdapat 10,278 pelajar Indonesia sedang melanjutkan pengajian di Malaysia dan daripada jumlah itu 66 orang sedang mengikuti pengajian di pelbagai universiti awam di Malaysia di bawah tajaan MIS bagi tahun 2020 dan 2021. - Bernama