19 OKT maut dalam tahanan polis sejak Januari

19 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan melibatkan sembilan kes kematian di lokap, lapan kes di hospital dan dua dalam perjalanan ke hospital. - Foto hiasan
19 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan melibatkan sembilan kes kematian di lokap, lapan kes di hospital dan dua dalam perjalanan ke hospital. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 19 kematian membabitkan orang kena tahan (OKT) disiasat Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) sejak penubuhan unit itu pada 1 Januari hingga Jumaat.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, satu daripada kes terbabit telah dituduh di mahkamah pada 21 Januari melibatkan empat orang suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Sebanyak 19 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan melibatkan sembilan kes kematian di lokap, lapan kes di hospital dan dua dalam perjalanan ke hospital.

"Sebanyak 16 kes melibatkan kematian lelaki tempatan dan dua lelaki Myanmar termasuk seorang warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Noorsiah berkata, satu kes telah dirujuk ke koroner manakala sebanyak 17 kes masih lagi disiasat pihak USJKT, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk membincangkan isu kematian dalam tahanan.

Katanya, Suhakam dan SIAP turut dibawa melawat ke lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Khamis bagi memberi gambaran kepada pihak tersebut mengenai pengoperasian lokap berpusat PDRM.

"Lawatan turut disertai wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Centre For Human Rights Research and Advocacy (Centhra).

"Kolaborasi PDRM bersama agensi lain merupakan sebahagian usaha ke arah menangani isu kematian dalam tahanan atau jagaan polis dan menunjukkan keterbukaan serta ketelusan PDRM dalam pengurusan tahanan," ujarnya.