Kesan ikatan, pukulan dan tikaman di badan mangsa: Polis

Laporan Sinar Harian mengenai seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam satu kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru pada pagi Jumaat.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam satu kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru pada pagi Jumaat.
A
A
A

BATU PAHAT - Terdapat kesan ikatan di kaki, pukulan serta tikaman pada tubuh lelaki yang ditemukan maut di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dadah dipercayai jenis syabu dan peralatan penagihan turut ditemukan di rumah mangsa.

"Terdapat kesan pukul dan tikam pada mayat mangsa yang ditemui di dalam rumah. Ekoran daripada itu, polis telah menahan isteri mangsa berusia 35 tahun. Isteri mangsa ditahan ketika sedang berjalan di sekitar kawasan rumahnya.

"Selain itu, hasil pemeriksaan di dalam rumah mangsa menemukan kesan penagihan dadah dipercayai jenis syabu.

"Ia termasuk peralatan yang digunakan bagi aktiviti penagihan dadah," katanya pada sidang akhbar di Yong Peng di sini pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah.

Menurut Kamarul Zaman, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif utama kes pembunuhan itu dan pekerjaan pasangan suami isteri tersebut.

Sebelum itu, seorang lelaki ditemukan maut di kediamannya di Flat Nipah Taman Daya Johor Bahru dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul isterinya berusia 35 tahun hingga menyebabkan kematiannya.

Katanya, anak mangsa yang berada di rumah berkenaan adalah saksi utama kejadian dan isteri mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut memohon perintah reman.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.