Wenger mahu hasilkan lebih ramai Guardiola, Klopp

Arsene Wenger
Arsene Wenger
A
A
A

KETUA Pembangunan Global Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Arsene Wenger berikrar membentuk lebih ramai pengendali bertaraf dunia seperti Pep Guardiola dan Jurgen Klopp pada masa depan.

Bagi tujuan itu menurutnya, tumpuan diberikan ke arah mengutamakan piawaian kejurulatihan dengan penggunaan teknologi tambahan dan kursus yang lebih baik.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi jurulatih, tetapi memberitahu seseorang dengan tepat apa yang mereka perlu lakukan, bagaimana untuk melakukannya dan juga memberitahu mereka bila untuk melakukannya, itu memerlukan pengetahuan, pengalaman dan pendidikan.

“Itulah sebabnya sangat penting untuk kita memberi tumpuan kepada kualiti pendidikan kepada golongan bekas pemain pada masa ini.

“Ini soal kuantiti dan kualiti. Kami perlu terus mengusahakan kualiti jurulatih dan lebih penting lagi, mengenai pendidik jurulatih. Siapakah orang yang membangunkan kursus ini dan bekerja dengan pemain muda dan dewasa, lelaki dan wanita,” katanya ketika berucap pada persidangan jurulatih badan induk itu baru-baru ini

Pengendali dari Perancis itu sebelum ini merupakan bekas pengendali kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal yang membimbing gergasi London tersebut memenangi tiga kejuaraan liga dan tujuh Piala FA termasuk dua kejuaraan berganda pada 1998 dan 2002.

Selain itu, Wenger juga mencipta rekod 'Invincibles' pada musim 2004 yang menyaksikan sensasi London tersebut menjuarai liga dengan mengekalkan rekod tanpa sebarang kekalahan.

Jelas Wenger lagi, usaha yang dilakukan FIFA dalam merealisasikan misi tersebut mendapat respon positif dalam kalangan bekas pemain.

“Apa yang telah dan sedang dilakukan FIFA dalam menyokong program pendidikan di seluruh dunia adalah benar-benar positif.

“Tugas besar yang dihadapi kami adalah untuk menyampaikan mesej ini di luar sana, dan untuk mendapatkan sokongan melalui program ini supaya kami dapat membangunkan pemain dan jurulatih terbaik untuk masa depan,” katanya.