Keputusan penempatan 2,611 guru kontrak petang ini

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan penempatan bagi 2,611 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 lantikan secara kontrak perkhidmatan (CoS) boleh disemak mulai 3 petang Jumaat, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, Mohd Radzi berkata, semakan penempatan boleh dibuat melalui https://egraduan.moe.gov.my.

Beliau berkata, penempatan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan khas guru secara sekali pengambilan (one-off) yang telah dilantik dan ditempatkan di sekolah adalah seramai 16,381 orang.

"Sepertimana yang telah diarahkan, penempatan guru baharu ini telah mengambil kira permohonan pertukaran guru-guru yang memenuhi syarat pertukaran, khususnya kekosongan jawatan dan opsyen mata pelajaran," katanya.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa berikhtiar sehabis baik bagi memastikan perkara berkaitan pertukaran dan penempatan guru dapat dilaksanakan sebaiknya.

"Selamat memulakan tugasan buat guru-guru baharu ini yang akan melapor diri di sekolah masing-masing pada 25 Julai 2022.

"Kepada guru-guru baharu, tahniah saya ucapkan. Laksanakan amanah dan berikan khidmat yang terbaik demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara," katanya. - Bernama