Haaland dikatakan salah pilih ‘Manchester’

Haaland. - Foto Premier League
Haaland. - Foto Premier League
A
A
A

BINTANG baharu Manchester City, Erling Haaland mendedahkan dia menerima mesej daripada bekas pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yang mendakwa dia tersalah pilih kelab Manchester yang mahu diwakilinya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Haaland, dia menerima mesej berkenaan baru-baru ini setelah menandatangani kontrak untuk beraksi dengan City.

“Bila saya selesai menandatangani kontrak dengan City, dia (Solksjaer) mengucapkan tahniah kepada saya dengan mengatakan, 'tahniah kerana memilih Manchester yang salah’ kepada saya.

“Apa pun, saya mengaku, kami memang mengenali antara satu sama lain dan Solksjaer juga sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar dalam karier saya.

“Bagaimanapun rasanya, saya telah membuat keputusan yang tepat memilih City selepas beraksi dengan Molde FK, RB Salzburg dan Borussia Dortmund,” katanya.

Untuk rekod, Haaland kini sah milik skuad The Citizens itu setelah menandatangani kontrak baru-baru ini.

Pemain 21 tahun itu mula menjadi rebutan kelab-kelab terkemuka Eropah berdasarkan kepada rekod cemerlangnya sejak berusia 16 tahun dengan meledak 20 gol daripada 50 perlawanan.

Perkara ini telah menarik minat kelab RB Salzburg, Borussia Dortmund dan kini Manchester City bagi mendapatkan khidmatnya.

Sementara itu, mengakui sudah bersedia untuk mengharungi cabaran baharu dalam saingan EPL ketika ini.

“Saya berazam untuk memberikan yang terbaik untuk City musim ini dimulai dengan perlawanan pra musim dengan kelab Amerika di Stadium NRG di Houston pada 20 Julai sebelum berdepan gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

“Selepas itu, kam akan berdepan Liverpool pada 30 Julai sebelum menamatkan pra-musim menentang West Ham pada 7 Ogos,” katanya.