Pengasas bersama kelab komedi ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki disyaki pengasas bersama sebuah kelab komedi berhubung penularan dua klip video di kelab berkenaan yang menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang pada Khamis.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada Jumaat.

"Kita akan melengkapkan proses siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya," katanya.

Noorsiah turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

Pada Rabu Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilapor berkata, operasi kelab komedi terletak di Taman Tun Dr Ismail di sini, digantung sementara kerana didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Beliau dipetik berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Pada hari yang sama, media melaporkan Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi menggesa pihak berkuasa menutup terus kelab tersebut yang didakwa menyajikan persembahan lawak jelik dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum.