Rakyat Johor diminta waspada amaran air pasang besar: MB

Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar yang dijangka bermula Khamis hingga Ahad.
Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar yang dijangka bermula Khamis hingga Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat Johor khususnya penduduk di sekitar kawasan pesisir pantai diminta lebih berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku susulan amaran fenomena air pasang besar.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, orang ramai yang berhasrat untuk beriadah di kawasan pantai dan nelayan turut dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan.

"Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar yang dijangka bermula hari ini (Khamis) hingga Ahad.

"Saya menyeru penduduk di pesisir pantai Johor lebih berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi beliau pada Khamis.

Onn Hafiz berkata, orang ramai juga diminta sentiasa memantau keadaan cuaca semasa dan merujuk informasi agensi berkaitan sebelum memulakan aktiviti.

PHN menerusi hantaran di Twitter memaklumkan bahawa fenomena itu berlaku disebabkan dipengaruhi oleh daya tarikan graviti bulan dan matahari.

Justeru, penduduk terutama di sekitar pesisir pantai di seluruh negara disarankan berwaspada dengan fenomena itu. - Bernama.