Suspek tertembak mati rakan didakwa esok

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki yang didakwa tertembak mati rakannya menggunakan senapang di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai, Hulu Langat akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Suspek yang memegang senapang patah dipercayai dalam perjalanan ke kebun durian bersama mangsa dan dua lagi rakan mereka sebelum suspek tergelincir menyebabkan senjata api tersebut terpelanting lalu tertembak mangsa yang berjalan di hadapan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) dan Seksyen 8 (a) Akta senjata 1960.

"Bapa saudara salah seorang daripada rakan mangsa yang memegang lesen senapang tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 41 Akta Senjata 1960 kerana bersubahat membenarkan senjata api miliknya digunakan.

"Dua tangkapan lain iaitu abang mangsa dan rakannya akan diikat dengan bon sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaid berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Kajang pada Jumaat, manakala pemilik senjata api berkenaan akan didakwa dalam masa terdekat.

Pada 6 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun maut selepas terkena tembakan dari jarak tiga meter daripada senapang patah di bahagian belakang badan mangsa.

Susulan itu, pihak polis telah menahan tiga rakan mangsa termasuk suspek yang berusia lingkungan 36 hingga 43 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.