MOF sangkal dakwaan Malaysia bakal muflis

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kewangan (MOF) menyangkal dakwaan Malaysia bakal menjadi sebuah negara muflis.

Tegas Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, satu aduan rasmi telah dibuat kementerian itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat mengelirukan rakyat serta berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

"Merujuk kepada beberapa laporan di media sosial, MOF ingin memaklumkan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang kerajaan Persekutuan di tahap terkawal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang.

"Dalam hal ini, hutang kerajaan Persekutuan jelas masih terkawal kerana Malaysia berdisiplin membayar faedah dan hutang matang walaupun melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga mengamalkan pengurusan hutang secara berhemat undang-undang sedia ada.

"Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 juga memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion.

"Pada akhir Jun lalu, hutang ini adalah berjumlah RM29.4 bilion," katanya.

Selain itu, ujarnya, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2022 menetapkan had statutori hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pada akhir Jun, hutang statutori negara mencatat 60.4 peratus daripada KDNK," katanya.

Tambah Tengku Zafrul, sebanyak 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit.

"Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum," katanya.

Menurutnya, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

"Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus utuh dan kedudukan luaran yang baik serta kekukuhan ekonominya," katanya

Jelasnya, pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus.

"Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara," katanya.