KeTSA beri jaminan laporan kepala air siap sebelum sidang Parlimen

Takiyuddin ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Protech Seluruh Kelantan 2022 anjuran PBNK di Kota Bharu pada Sabtu.
Takiyuddin ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Protech Seluruh Kelantan 2022 anjuran PBNK di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Laporan berkaitan tragedi kepala air dan banjir lumpur sehingga mengorbankan tiga nyawa di Baling, Kedah awal bulan ini akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menjangkakan semua hasil laporan berhubung kejadian itu akan dibentang sebelum berlangsungnya sidang Parlimen pada minggu depan.

"Seluruh jabatan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah diminta untuk menyiapkan laporan lengkap mengenai insiden itu bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Saya minta Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) menggunakan dron untuk mengambil gambar. Selain itu Jabatan Mineral dan Geosains diarah untuk membuat kajian dari segi tanah serta sebagainya," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas perkembangan terkini isu kepala air di Baling.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Protech Seluruh Kelantan 2022 anjuran Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK) di sini pada Sabtu.

Seramai 600 pemain amatur di bawah peringkat umur dari seluruh negeri menyertai kejohanan itu yang dianjurkan secara tahunan.

Takiyuddin berkata, Jabatan Perhutanan turut dikerah untuk menjalankan siasatan semua perkara sehingga kejadian tersebut berlaku.

Menurutnya, KeTSA sentiasa komited dalam memastikan kelestarian alam sentiasa terpelihara selain menyifatkan kejadian bencana seumpama itu berlaku bukan hanya di negara ini bahkan di seluruh dunia.

Pada 4 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan dua buah kampung di Mukim Kupang, Baling dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira tiga jam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, kejadian pada jam 6.30 petang itu menjejaskan penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas.

Katanya, hujan lebat sekitar jam 2 petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.