RuralStar mudahkan kesalinghubungan komuniti terpencil

Ismail Sabri (tengah) bersama sebahagian pelajar yang menerima tablet Huawei dalam majlis tersebut di Dewan Konvesyen Bera pada Khamis.
Ismail Sabri (tengah) bersama sebahagian pelajar yang menerima tablet Huawei dalam majlis tersebut di Dewan Konvesyen Bera pada Khamis.
A
A
A

BERA - Peningkatan perkembangan digital antara perkara positif yang berlaku di negara ini sejak penularan jangkitan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, perkembangan positif itu banyak membantu ramai pihak.

“Sepanjang tempoh PKP, kita hanya melihat perkara negatif tanpa kita sedar adanya perkara positif iaitu perkembangan dunia digital di mana peniagaan secara atas talian semakin berkembang.

“Sebagai contoh seorang penjual bunga di daerah ini terpaksa menjual bunga dalam talian kerana Covid-19.

"Namun pendapatannya meningkat RM2,000 melalui jualan secara digital berbanding RM400 jualan secara fizikal sebelum itu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Huawei Ruralstar Pro dan Penyerahan Huawei Matepad bagi pelajar di daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Michael Yuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi.

Ismail Sabri juga berkata, proses digitalisasi membolehkan kehidupan harian diteruskan sepanjang tempoh PKP tanpa mengganggu kelangsungan tidak hanya produktiviti perniagaan malah juga pendidikan.

“Ketika pandemik, pelajar tidak dibenarkan bersemuka dan hanya melalui atas talian. Ini merupakan perkembangan terbaru negara sewaktu PKP dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, masih terdapat kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.

“Dengan adanya RuralStar yang merupakan peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini dapat menghubungkan kawasan bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

“Pelancaran RuralStar ini amat penting agar teknologi baharu seperti ini dapat memudahkan salinghubungan (ketersambungan) kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau," jelasnya.

Dalam majlis tersebut, 200 tablet jenama Huawei berserta kad sim Celcom diserahkan kepada golongan pelajar di daerah ini yang memerlukan bantuan pembelajaran.

“Saya berasa sukacita kerana kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta seperti ini dapat menggalakkan pendidikan digital, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan,” ujarnya.