Polis buru dua suspek kes ragut

Tangkap layar aplikasi WhatsApp yang tular pada Khamis.
Tangkap layar aplikasi WhatsApp yang tular pada Khamis.
A
A
A

SEKINCHAN - Polis giat mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian ragut membabitkan seorang wanita dalam kejadian di Taman Ria di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, dua suspek bertindak demikian kira-kira jam 9 pagi ketika cuba meragut wanita berusia 59 tahun yang menunggang motosikal bersendirian di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita terbabit cedera pada lutut kiri apabila cuba diragut dua lelaki bermotosikal selepas membeli sarapan pagi.

"Suspek seterusnya cuba meragut gelang emas dipakai mangsa namun gagal lalu melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Agus berkata, mangsa yang selesai membeli sarapan di sebuah gerai berdekatan lokasi kejadian membuat laporan di Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta bekerjasama menyalurkannya ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp yang meminta orang ramai berhati-hati dengan kejadian ragut membabitkan seorang wanita di Taman Ria Sekinchan.

Kejadian berlaku membabitkan dua lelaki bermotosikal cuba meragut gelang tangan wanita semasa menunggang motosikal, namun tidak berjaya selepas wanita terbabit menjerit meminta pertolongan.