Penuntut UMS bakal nikmati menu makanan serendah RM3.50

Kafeteria kolej kediaman UMS menyediakan menu makanan dengan harga siling RM3.50 kepada penuntut UMS.
Kafeteria kolej kediaman UMS menyediakan menu makanan dengan harga siling RM3.50 kepada penuntut UMS.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula Jumaat ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin berkata, usaha itu adalah sebagai menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

"Selaras dengan saranan itu, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS dan mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

"Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau percaya usaha pengurusan UMS akan membantu penuntut berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.

"Ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan penuntut UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40," katanya.

Untuk rekod, terdapat seramai 13,179 pelajar B40 di UMS terdiri daripada 4,215 penuntut lelaki dan 8,964 perempuan.

Bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga diberikan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini.

Langkah itu dijangka mampu membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada penuntut memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.