Disahkan bebas kanser, atlet para kembali aktif di padang

Salmiah pada Kejohanan Sirkit 1 Lawn Bowls 2022 di Kompleks Sukan Kiara Kuala Lumpur pada 18 hingga 22 Mei lepas.
Salmiah pada Kejohanan Sirkit 1 Lawn Bowls 2022 di Kompleks Sukan Kiara Kuala Lumpur pada 18 hingga 22 Mei lepas.
A
A
A

JEMPOL - Pernah disahkan menghidap kanser usus tahap tiga, derita seorang atlet boling padang orang kurang upaya (OKU) Negeri Sembilan berakhir apabila disahkan bebas dan pulih daripada penyakit itu Ogos tahun lepas.

Atlet berkenaan, Salmiah Zakaria, 39, OKU lumpuh separuh badan mengakui tidak pernah berhenti berharap dan berdoa malah tidak menyerah kalah berjuang melawan penyakit tersebut.

Berkongsi kembali pengalaman itu, Salmiah berkata, mengalami najis berdarah selama seminggu pada November 2019 sebelum ahli keluarganya menghantar ke pelbagai klinik kerajaan dan swasta.

"Saya kemudiannya disahkan menghidap kanser usus pada Januari 2020 oleh doktor di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah seterusnya bermulalah rawatan kemoterapi dan radioterapi di Institut Kanser Negara.

"Bagaimanapun pembedahan membuang usus terpaksa dilakukan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban, pada 7 Ogos tahun sama dan menyebabkan saya terlantar kerana tidak boleh duduk walaupun di atas kerusi roda," katanya pada Khamis.

Beliau adalah atlet boling padang mewakili Negeri Sembilan ke Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dan berjaya menyumbang pingat perak kepada kontinjen Negeri Sembilan menerusi acara perseorangan.

Selain itu, Salmiah juga menyumbang satu perak perseorangan dan satu gangsa menerusi acara beregu (double) pada Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia pada 2018.

Jelas Salmiah, berlaku satu keajaiban pada Ogos tahun lepas apabila doktor yang merawatnya memaklumkan kansernya sudah hilang.

"Masa itu, memang rasa macam tak percaya. Berkali-kali saya bertanyakan soalan sama kepada doktor yang merawat. Ya Allah, terasa seakan mimpi, syukur Alhamdulillah.

"Saya pernah meluahkan kepada keluarga jika saya sembuh daripada penyakit ini, saya mahu kembali aktif dalam sukan," katanya yang masih dalam pemantauan doktor.

Katanya mewakili Negeri Sembilan pada Kejohanan Sirkit 1 Lawn Bowls 2022 di Kompleks Sukan Kiara Kuala Lumpur pada 18 hingga 22 Mei lepas selepas disahkan sembuh malah berjaya membawa pingat perak.

Salmiah berkata, akan menyertai acara boling padang pada Para Sukma di Kuala Lumpur pada 1-7 November ini dan kini sedang mengikuti sesi latihan di Seremban 2 bersama 12 atlet para lain yang dijangka turut serta dalam acara sama.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Salmiah berkata, pihaknya juga sedang mencari bakat baru atlet boling padang OKU Negeri Sembilan.

"Syarat utamanya mestilah OKU fizikal berumur 40 tahun ke bawah, mempunyai disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi selain komitmen kepada pasukan serta boleh hadir setiap sesi latihan yang di tetapkan.

"Mereka yang berminat dan ingin mencuba boleh menghubungi saya di talian 016-2803035," katanya.